Karikurma Ayam; eksperimenku di dapur menghasilkan satu menu untuk sajian keluarga.
Assalamualaikum.
Rasa pelik tak dengan nama menu yang dipaparkan? Bila tengok gambar di atas mostly nampak macam masakan kari ayam kan? Memanglah kari ayam sebab Kak Noor menggunakan bahan utama dalam masakan ini iaitu serbuk rempah kari daging. Pun begitu menu ini mempunyai kelainan dari segi rasanya selepas dimasak. Untuk mempelbagaikan rasa kuah berempah, Kak Noor turut menggunakan serbuk rempah kurma dalam masakan ini.
Tak salah kalau kita `bereksperimen' untuk mencuba menghasilkan satu menu yang baharu dan kelaianan rasanya. Apapun hasilnya, ia masih sedap dimakan. Karikurma merupakan gabungan serbuk rempah kari daging dan juga serbuk rempah kurma. Maka jadilah nama masakan ini Karikurma. Ha...ha... sempoikan! Satu nama baharu dalam menu masakan.
Cara memasaknya lebih kurang sama seperti kita memasak kari ayam. Kali ini Kak Noor menggunakan susu sejat bagi menggantikan santan. Cubalah resepi ini untuk merasa kelainannya. Bila dah cuba masak sendiri, baru tahu hasilnya; sedap ataupun tidak. Insya Allah sedap.
Jom kita ke resepi Karikurma Ayam ini.
Bahan-bahannya:
1 kg. ayam – dipotong 12 atau 16
5 biji ubi kentang – dipotong 2
1 batang serai – dititik
2 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 biji buah pelaga
1 inci halia + 4 ulas bawang putih – dikisar
2 biji bawang besar - dikisar
2 batang daun kari
4 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar rempah kurma
1 sudu besar serbuk cili
1 tin susu sejat
2 tin air (menggunakan sukatan tin susu sejat)
1 kiub ayam
1 biji tomato saiz sederhana - dipotong kiub/kecil
Garam dan gula secukup rasa.
Minyak secukupnya untuk menumis
Cara-caranya:
1. Satukan serbuk rempah kari daging, serbuk rempah kurma dan serbuk cili. Bancuh dengan air untuk menjadikannya pes.
2. Panaskan minyak dalam periuk. Masukkan serai, diikuti dengan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga. Kacau, kemudian masukkan kisaran halia dan bawang putih, diikuti dengan kisaran bawang besar dan daun kari. Tumis sehingga naik bau dan bahan-bahan tumisan kekuningan.
3. Kemudian masukkan pes rempah. Kacau rata dan perlahan api. Biarkan rempah mereneh di atas dapur sehingga rempah garing/terbit minyak.
4. Selepas rempah garing masukkan ayam. Kaupbalikkan ayam dengan rempah. Tutup periuk dan biarkan ia mereneh di atas dapur lebih kurang 10 minit.
5. Kemudian masukkan susu sejat dan air. Kacau rata. Masukkan kiub ayam Knorr dan buah tomato. Masak di atas dapur sehingga kuah mendidih.
6. Selepas itu masukkan potongan ubi kentang. Perisakan dengan garam dan gula. Masak di atas dapur sehingga ayam masak dan ubi empuk.
7. Akhir sekali masukkan cili padi hijau dan cili hidup. Kacau dan tutup api.
Komentar
Posting Komentar