Nasi Lemak Pandan




Nasi lemak pandan, menu sarapan pagi untuk keluarga di hujung minggu. Cara penyediaannya lebih kurang sama sahaja macam kita memasak nasi lemak.  Cuma bagi kejadian warna hijaunya, kita gunakan air daun pandan dan dicampur dengan sedikit pewarna hijau.  



Untuk lauknya pula Kak Noor masak menu kari ayam yang diolah rasanya dengan menggabungkan dua rempah iaitu rempah kari daging dan rempah kurma.  Ternyata rasanya tidak menghampakan.  Lebih sedap daripada kari ayam yang selalu Kak Noor masak.  Kak Noor namakan menu kari ayam ini dengan nama yang berlainan iaitu Karikurma Ayam. Resepinya akan Kak Noor poskan dalam N3 akan datang.


Karikurma Ayam dimakan bersama Nasi Lemak Pandan

Jom kita tengok resepi nasi lemak pandan ini.

Bahan-bahannya:
5 cawan beras biasa – dibasuhkan dan ditoskan
1 ½ cawan pati santan – Kak Noor gunakan santan sawit KHALIS
1 sudu kecil pewarna hijau
10 helai daun pandan – diblend dengan air
2 helai daun pandan – disiat dan disimpul
2 inci kayu manis
1 kuntum bunga cengkih
Sedikit biji lada hitam
1 biji bawang besar – dihiris
2 inci halia – diketuk
1 batang serai – diketuk
½ kiub Ayam Knorr
Garam dan gula secukup rasa

Penyediaannya:
1. Beras dibasuh bersih dan ditoskan.
2. Daun pandan dibersihkan dan dipotong kecil. Masukkan dalam blender bersama 6 cawan air dan diblend halus (gunakan sukatan cawan yang sama semasa menyukat beras). Kemudian ditapis dan diambil airnya. Ketepikan.
3. Campurkan 1 ½ cawan pati santan bersama air pandan dan pewarna hijau.

Cara-cara Memasak:
1. Panaskan (on) rice cooker. Masukkan campuran pati santan dan air pandan, halia, serai, kulit kayu manis, bunga lawang, hirisan bawang besar, biji lada hitam, kiub pati ayam Knorr, garam, dan gula. Kacau rata dan masak sehingga santan mendidih.
2. Selepas santan mendidih, masukkan beras. Masukkan daun pandan dan kacau rata. Masak seperti biasa sehingga nasi masak. Gemburkan.
3. Biarkan rice cooker senantiasa `on’. Sedap dimakan ketika nasi panas.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung