Ayam Goreng Sambal Kicap Pedas




Assalamualaikum...

Selamat bercuti hujung minggu bersama keluarga tersayang.  Apa agaknya juadah untuk keluarga tersayang tengah hari ini ye?  Hari ni Kak Noor masak simple aje.  Hanya sekadar sejenis lauk untuk dihidang bersama nasi panas.  Sejak seminggu yang lalu anak-anak tidak berapa selera nak makan sebab tak berapa sihat.  Sekarang ini musim demam panas dan batuk. Walaupun telah dimasak, tetapi tidak dijamah. Daripada membazir, lebih baik Kak Noor tak masak. Sepulang dari kerja, singgah di kedai dan beli aje makanan yang dipesan oleh anak-anak.




Hari ini, cuba masak ayam goreng sambal kicap pedas. Harap-harap menu ini membuka selera keluarga.  Malas nak masak pelbagai lauk, nanti membazir pula.



Inilah bahan-bahan yang digunakan untuk memasak Ayam Goreng Sambal Kicap Pedas ini.  Dari segi penggunaan cili padi, boleh ditambah kuantitinya jika suka lebih pedas.  Bergantunglah kepada citarasa masing-masing.

Bahan-bahannya:
500 gram ayam – dipotong sederhana
2 biji bawang besar – dipotong bulat
1 sudu besar sos ikan/sos sotong
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar gula perang
Garam halus secukupnya
Kicap manis secukupnya
1 cawan air

Bahan-bahan yang perlu dikisar:
15 biji cili merah – dibuang biji
10 biji cili padi warna hijau
5 biji cili padi warna merah
2 biji bawang besar
Air 1 cawan

Cara-caranya:

1. Basuh ayam, buang lemak dan kulitnya. Perap 2 minit dengan tepung gandum dan sedikit cuka bagi menghilangkan bau hanyir ayam. Kemudian basuh bersih dan toskan.
2. Selepas itu gaul ayam dengan serbuk kunyit dan garam. Kalau suka boleh tambahkan sedikit serbuk kari ayam.
3. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Goreng ayam tadi sehingga masak isi dalamnya, tetapi jangan terlampau garing. Ketepikan.
4. Gunakan kuali yang sama atau kuali lain untuk menumis. Gunakan minyak gorengan ayam tadi. Kalau guna kuali yang sama, tinggalkan minyak secukupnya di dalam kuali untuk menumis.
5. Tumis bahan-bahan kisar sehingga naik bau dan garing. Masukkan sos kicap, sos tiram, gula merah, garam, dan air. Kacau rata.  Masak sehingga kuah mendidih. 
6. Setelah merasa kuah sambal menepati citarasa (sedap), masukkan ayam goreng tadi. Kaup balikkan sehingga bergaul rata. Perlahankan api dan biarkan di atas dapur selama 5 minit. 
7. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong bulat tadi. Kacau seketika, kemudian tutup api.
8. Hidangkan bersama nasi panas. Pasti membuka selera.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung