Pencuci Mulut di Hari Cuti, Agar-Agar Koktel Strawberry

Assalamulaikum teman-teman semua.

Hari ini cuti am.  Memang ditunggu-tunggu oleh orang macam Kak Noor ni.  Kalau boleh nak rehat aje... Sesiapa yang bekerja di sektor awam mahupun swasta hari ini telah diisytiharkan cuti am sempena Hari Deepavali.  Anak-anak yang bersekolah pun turut diberi cuti; tetapi bukan sehari dua tetapi sehingga hari Ahad.  Hari Isnin minggu hadapan naik sekolah kembali.  Ada juga famili yang mengambil kesempatan ini untuk bercuti panjang membawa anak-anak pulang ke kampung menziarahi ayahanda bonda, dan sanak saudara, dan ada juga yang membawa anak pergi `Cuti-cuti Malaysia'.





Kak Noor dan famili hanya menghabiskan cuti sehari ini di Kuala Lumpur sahaja.  Lagipun pada minggu hadapan, akan bermula peperiksaan hujung tahun sebelum cuti sekolah penggal ketiga. Kalau balik kampung, sudah tentu anak perempuan bongsu Kak Noor akan leka bermain dengan sepupu-sepupunya, bukupun hilang entah ke mana. Biasalah budak-budak, tak boleh dihalang.  So biarlah dia study untuk exam dulu.





N3 hari ini tiada lauk pauk yang disajikan.  Masih banyak lagi nasi goreng di dalam kuali.  Biar dihabiskan, baru difikirkan apa yang hendak dimasak hari ini. Lagipun hari ini Kak Noor buat pulut inti juga.  Dah lama tak buat dan makan pulut inti ni.  Sesekali terasa teringin pula.  Pencuci mulut yang menjadi pilihan ialah Agar-agar Koktel Strawberry kerana telah sedia ada stok 2 tin koktel di rumah.  
Jom kita tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan pencuci mulut ini.

Bahan-bahannya:
30 gram agar-agar tali
4 cawan air
1/2 tin susu cair
200 gram gula pasir
1 tin koktel Ayam Brand (410 gram) @ jenama lain
1 sudu besar perasa dan pewarna strawberry emulco
2 helai daun pandan – disimpul

Cara-caranya:

1.  Basuh agar-agar tali dulu. Kemudian masukkan di dalam periuk bersama 4 cawan air dan daun pandan. Masak sehingga agar-agar larut sepenuhnya. Kemudian ditapis.

2.  Masukkan kembali larutan agar-agar di dalam periuk. Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
3.  Kemudian baru dimasukkan air sirap koktel, susu cair, dan perasa strawberry. Kacau dan masak sehingga mendidih. Selepas itu masukkan buah-buahan koktel. Kacau rata dan tutup api.
4.  Tuang agar agar ke dalam loyang dan sejukkan seketika diluar sehingga suam. Kemudian bolehlah diletakkan di dalam peti ais.
5.  Apabila telah keras, bolehlah dipotong dan dihidangkan.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung