Kurma Ayam, salah satu hidangan wajib kenduri kahwin orang-orang Utagha
Assalamualaikum dan Salam Ceria + Salam Santai di Hujung Minggu. Semoga kita semua senantiasa dirahmati dan dilimpahi rezeki oleh Allah yang Maha Esa. Syukur Alhamdulillah.
Masih terfikir-fikir menu apa yang hendak disajikan untuk hidangan tengah hari ini? Apa kata masak kurma ayam. Kak Noor pun dah lama tak masa kurma ayam ini.
Seingat Kak Noor semasa zaman kanak-kanak dulu, lauk kurma ayam merupakan salah satu lauk yang wajib dihidangkan di kenduri kahwin oghang-oghang Utara selain ayam masak merah. Dimasak pula menggunakan kawah secara gotong royong. Selalunya lauk kenduri rasanya lebih sedap walaupun kita masih menggunakan resepi yang sama untuk masakan harian. Dimakan pula bersama nasi minyak. Kenduri kahwin dulu-dulu selalunya dihidangkan dengan nasi minyak dan nasi putih. Sekarang ini dah ada nasi tomato, nasi hujan panas, nasi mandy, dan pelbagai nasi lagi. Ada tak orang hidangkan nasi kandaq untuk kenduri kahwin? Hm.... sedap juga kalau pekena nasi kandaq kat kenduri kahwin.
Kalau masak kurma ayam ini, Kak Noor lebih suka memilih rempah BABAS kerana aroma rempahnya yang berbau lauk nasi kandaq, ala-ala masakan mamak. Ada orang meletak kerisik dalam kurma ayam ini, tetapi resepi Kak Noor tidak menggunakan kerisik. Santan juga Kak Noor gantikan dengan susu sejat. Kebetulan pula santan dah habis. Kurma ini agak simple dan mudah disediakan.
1/2 ekor ayam - dipotong kecil
1 cawan susu sejat
2 cawan air
3 biji ubi kentang - dibelah 4
1 biji tomato saiz besar - dibelah 4
2 biji cili hijau - dibelah dua tetapi tak putus
Bahan-bahan dikisar sehingga lumat:
5 sudu besar serbuk rempah kurma BABAS
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
2 biji buah keras - opsyen
Air secukupnya
Bahan-bahan ditumis:
1 biji bawang besar - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 batang serai - dititik
2 inci halia - dihiris mancis
1 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
1 helai daun pandan - dikoyak dan disimpul
Minyak untuk menumis
Cara-caranya:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan serai dan daun pandan, dan tumis sehingga naik bau. Selepas itu masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, bunga lawang, hirisan halia, bawang besar dan bawang putih. Tumis sehingga bawang kekuningan dan naik bau.
2. Masukkan bahan-bahan yang dikisar dan kacau rata. Tutup periuk dan guna api sederhana. Masak sehingga rempah garing dan terbit minyak.
3. Selepas itu masukkan ayam dan gaul rata sehingga rempah menyelaputi ayam. Biarkan mereneh di atas dapur selama 5 minit.
4. Tuangkan susu sejat bersama 2 cawan air dan kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga kuah mendidih. Kemudian masukkan ubi kentang.
5. Selepas ayam dan ubi kentang empuk, bolehlah dimasukkan buah tomato dan cili hijau. Tutup api dan taburkan bawang goreng dan daun pudina sekiranya suka. Tutup periuk supaya aromanya tidak keluar.
6. Kacau rata terlebih dahulu sebelum dihidangkan.
Selamat Mencuba.
Selamat Mencuba.
Komentar
Posting Komentar