Rendang Ayam Pedas Kerisik
Assalamualaikum.
Ibu-ibu masih terfikir-fikir nak masak apa hari ini? Apa kata kita masak Ayam Rendang Pedas Kerisik. Kalau ada ayam dalam freezer tu keluarkanlah untuk nyahbeku cepat-cepat. Selalunya kalau masak rendang pedas ayam, Kak Noor kisar semua bahan dan rebus naik sahaja bersama santan.
Tetapi untuk resepi kali ini, Kak Noor guna kaedah menumis pula. Dan ada satu lagi kelainan untuk rendang pedas ayam kali ini, iaitu Kak Noor tak guna cili kering sebab tak ada stok kat rumah, terlupa nak beli. So Kak Noor gantikan dengan cili merah (hidup) digabung dengan cili padi. Sedap juga rendang pedas menggunakan cili merah.
Tak nak celoteh panjang-panjang, jom kita terus ke resepinya. Nanti tak sempat nak masak pula.
Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik – dipotong kecil
3 sudu besar kerisik
1 cawan pati santan
1 batang serai dititik
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Daun pudina (opsyen)
Bahan-bahan dikisar:
7 biji cili merah (hidup) – dibuang biji
5 biji cili padi hijau
1 biji bawang besar
1 ½ inci kunyit hidup
1 inci halia
2 batang serai - dihiris
Cara-caranya:
1. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan serai dahulu dan tumis sebentar. Kemudian baru dimasukkan bahan-bahan kisar. Masak sehigga mendidih.
2. Masukkan ayam dan 1 cawan air. Kacau rata. Guna api sederhana dan biar ayam mereneh di dalam kuali sehingga ayam ½ masak.
3. Kemudian masukkan pati santan dan kacau. Perasakan dengan garam dan gula.
4. Bila kuah telah mendidih, masukkan pula kerisik. Masak lagi sehingga kuah menjadi pekat.
5. Sebelum ditutup api, masukkan 5 – 6 helai daun pudina dan kacau kaupbalikkan.
6. Sedia untuk dihidangkan.
Komentar
Posting Komentar