Buah Cempedak ranum, sedap juga dibuat PUDING CEMPEDAK

Assalamulaikum.




Sekarang ini musim buah cempedak dan durian di sebelah Utara. Semasa Kak Noor pulang berhari raya di Seberang Perai, Pulau Pinang dan Baling, Kedah tempoh hari, terdapat banyak buah durian dan cempedak yang dijual di tepi-tepi jalan. Kak Noor memang `antu' cempedak sejak kecil lagi. Biasanya suka makan segar begitu sahaja. Memang berhasrat balik raya ini nak beli buah durian dan buah cempedak bawa balik ke Kuala Lumpur.




Syukur dan beruntung bagi orang-orang yang mempunyai dusun durian dan cempedak.  Dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke Baling, Kedah,  Kak Noor sempat singgah di rumah mak mertua sepupu Kak Noor di Junjung, Kedah. Rumah kampung, dikelilingi dengan pokok rambutan, ada dusun durian dan cempedak. Sesekali masuk ke kampung, terasa tenang dan damai dengan suasana dan persekitarannya. Al maklumlah Kak Noor ni tak ada kampung. 




Bagi orang-orang yang mempunyai dusun buah-buahan, mereka sendiri telah jemu nak menjamah buah-buahan ini. Di persinggahan ini dapatlah Kak Noor sekeluarga merasa makan durian dan cempedak. Selebihnya Kak Noor bawa pulang ke Kuala Lumpur.

Sebagaimana semua orang tahu bentuk buah cempedak mirip buah nangka. Bagi orang macam Kak Noor yang tidak berapa arif tentang buah-buahan, kadang-kadang sukar juga untuk membezakannya. Tetapi one thing yang Kak Noor tahu aroma buah cempedak ini menusuk kuat seperti buah durian.


Gambar hiasan

Selain dimakan segar, biasanya kita menggoreng buah cempedak ini. Memang sedap dan sesuai untuk minum petang bersama keluarga.  Di Kuala Lumpur ini, tiga (3) ulas cempedak goreng saiz kecil dijual dengan harga RM1.00. Kalau ulas yang besar dijual dengan harga 50 sen. Kalau dah teringin mahal pun orang beli juga. Nak makan kan!

Gambar hiasan

Bila tengok ulas buah cempedak ini, terus kita terfikir menu yang selalu dihidangkan iaitu cempedak goreng. Jarang sangat kita mengolahnya untuk menu yang lain.  Puas juga Kak Noor blogwalking untuk mencari resepi untuk membuat puding cempedak ini.  Yang banyak memuatkan resepi puding cempedak ini ialah blog dari negara jiran, Indonesia.



Isi buah cempedak ini kalau disimpan lama akan cepat ranumnya. Kalau telah ranum, tidak sedap digoreng kerana akan diserap minyak. So alternatif yang lain ialah memasaknya sebagai puding. Memang jarang orang membuat puding dengan isi buah cempedak ini. Tetapi sayang kalau dibuang begitu sahaja, sedangkan kita boleh mengolahnya menjadi dessert.


Inilah resepi eksperimen Kak Noor dengan isi buah cempedak yang ranum ini. Memang sedap. Masa bawa ke pejabat hari itu ada seorang kawan ini ingat puding nangka. Emm... rasa nangka dan cempedak seakan-akan sama kot! Iyalah, sukar untuk dibezakan.

Puding Cempedak
Olahan:  Kak Noor, Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
30 gram agar-agar tali
1500 ml air
2 cawan gula pasir – boleh dikurangkan
Beberapa ulas cempedak dipotong kasar
Pewarna kuning
Pewarna hijau

Bahan-bahan B (disatukan dan diblend lumat):
500 gram isi cempedak ranum
1 tin susu cair
100 gram santan pekat + ½ cawan air – (Saya guna santan sawit KHALIS)
1 biji telur
3 sudu besar tepung kastard
1 sudu kecil esen vanilla

Cara-caranya:
1. Basuh agar-agar dan masukkan ke dalam periuk bersama 1500ml air. Masak sehingga agar-agar larut sempurna.
2. Selepas itu masukkan gula pasir dan masak sehingga gula larut.
3. Kemudian masukkan bahan-bahan B dan kacau senantiasa supaya adunan tidak melekat di dasar periuk (Gunakan api sederhana).
4. Selepas adunan mendidih, masukkan buah cempedak yang dipotong kasar tadi. Kacau rata dan biar adunan mendidih sekali lagi.
5. Tuang di dalam acuan yang sesuai. Biarkan adunan suam seketika di luar, kemudian baru dimasukkan ke dalam peti ais. 

Sekiranya anda gemar melapis dua warna, teruskan ke langkah 6.

6. Selepas langkah 4, asingkan adunan kepada dua bahagian. Satu bahagian dibiarkan di dalam periuk asal dan diletak warna hijau dan satu bahagian lagi diubah ke periuk lain dan diletak warna kuning (yellow egg). Boleh letak warna lain juga, terpulang kepada citarasa masing-masing.
7. Tuang adunan warna kuning dahulu ke dalam acuan. Masukkan ke dalam peti ais lebih kurang 3 – 4 minit (untuk adunan keras di bahagian atas sahaja). Keluarkan dan tuang adunan warna hijau pula, masukkan ke dalam peti ais kembali. Ulangi langkah melapis warna ini sehingga adunan selesai.
8. Sejukkan di dalam peti ais. Lebih elok semalaman di dalam peti ais.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung