Ayam Masak Madu Mamak
Assalamualaikum dan selamat tengah hari kepada rakan-rakan yang selalu mengunjungi dapur Kak Noor untuk mendapatkan resepi-resepi terkini Sajian Dapur Bonda.
Sejak seminggu dua minggu ini rasa tak sedap sangat badan ini. Sekejap rasa sejuk, dan sekejap rasa panas. Lidah pun rasa pahit dan meloya tekak ini, Makanpun kurang berselera. Mungkin disebabkan faktor usia yang bakal mencecah five series tidak lama lagi ataupun mungkin disebabkan keadaan jerebu yang tidak menentu. Anak perempuan Kak Noor yang bongsu pun tak berapa sihat. Mempumyai simptom yang sama. Tapi nasib baiklah diisytiharkan cuti sekolah. Dapatlah dia merehatkan diri di rumah.
Bila badan dah tak sihat, nak melangkah masuk ke dapur pun rasa berat dan malas. Kalau boleh nak beli lauk tunjuk-tunjuk aje. Tapi tak kena dengan selera pula. Bila dah tak sihat, selera pun turut terbantut. Apapun yang sedap ditayang di depan mata, tidak membangkitkan selera. Mahu tak mahu, gagahkan juga diri ini masuk ke dapur, walaupun hanya satu menu, cukuplah untuk santapan sekeluarga. Lagipun Encik Hasben telah beli lauk-pauk stok untuk seminggu di pasar tani hari Sabtu lalu. So perlulah berjimat cermat juga ye!
Anak-anak memang suka sangat kalau dimasak Ayam Masak Merah. Tapi dah selalu sangat masak ayam merah ini. So kali ini nak masak ayam masak madu mamak pula. Ala-ala lauk kandar tu... membangkitkan selera dengan aroma tumisan daun kari. Lauk ini kalau makan dengan nasi panas-panas memang sedap. Kalau rajin bolehlah goreng papadom.
Resepinya Kak Noor kongsi di sini.
Ayam Masak Madu Mamak
oleh: Sajian Dapur Bonda
Bahan-bahan A:1.5 kg. ayam organik
1 biji bawang besar – dihiris bulat
3 senduk nasi cili kering kisar
2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar madu
1 sudu besar gula perang
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar perasa TUMIX berkuah
Garam
Air secukupnya
Bahan-bahan B (ditumis):
1 batang serai dititik
2 tangkai daun kari
Bahan-bahan C (dikisar):
1 biji bawang merah saiz besar
5 ulas bawang putih
Cara-caranya:
1. Ayam digaramkunyitkan, kemudian digoreng hingga masak (jangan sampai garing).
2. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan B diikuti dengan bahan-bahan C.
3. Bila telah naik bau, masukkan cili kering kisar. Gunakan api sederhana dan biar cili mereneh di atas dapur sehingga terbit minyak. Kalau nak cili cepat masak, boleh tutup kuali.
4. Selepas cili masak, masukkan sos tiram, madu, gula perang, garam, perasa TUMIX dan air secukupnya. Masak sehingga kuah mendidih.
5. Masukkan ayam dan serbuk lada hitam. Kaupbalikkan dan gaul rata. Masak sehingga kuah pekat sedikit.
6. Akhir sekali masukkan hirisan bawang besar. Gaul rata dan bolehlah ditutup api.
7. Semasa menghidang bolehlah ditabur sedikit daun kari di atasnya.
Komentar
Posting Komentar