Kuih Keria, faveret sejak dulu dan selama-lamanya.

Assalamualaikum.


Seingat Kak Noor boleh dikira jari berapa kali saja kuih keria ini pernah dibuat oleh Kak Noor sejak berkahwin 26 tahun lalu. Lebih kerap dibeli di kedai untuk sarapan pagi dan minum petang. Kuih keria ini merupakan kuih faveret Kak Noor sejak kecil lagi. Kriteria kuih keria yang menjadi faveret Kak Noor mestilah teksturnya rasa lebih ubi dan disalut oleh banyak gula. Hmm... sedap tu.... lupa diet seketika. 



Walaupun nampak mudah dibuat, tetapi sekiranya resepi yang digunakan tidak betul, maka hasilnya tentu tidak menepati citarasa. Tetapi Kak Noor tengok orang dulu-dulu tak ikut resepi sangat. Pakai agak-agak aje bancuhannya. Mungkin dah selalu buat; alah bisa tegal biasa.




Tapi Kak Noor taklah seterror orang dulu-dulu tu. Masih dok rujuk resepi sebab masih tak konfiden nak guna sukatan agak-agak tu.  Takut terlajak lembik atau terlajak keras bancuhannya. Untuk lebih konfiden Kak Noor layari You Tube untuk mendapatkan resepi Kuih Keria ini daripada Video Try Masak. Mudah belajar daripada video ini. Ada step by step dan mudah diikuti. Resepi ini Kak Noor salin semula daripada Video Try Masak.



Resepi Kuih Keria
Rujukan:  Video – Try Masak
Dicuba oleh:  Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahannya:
2 biji ubi keledek merah direbus sehingga empuk (lebih kurang 900 gram)
1 cawan tepung gandum
1 sudu kecil tepung ubi
Garam secukupnya
Minyak untuk menggoreng
100 gm gula
60 gm air

Cara Membuatnya:
1.  Mula-mula lenyek ubi keledek yang telah direbus sehingga lumat.
2. Kemudian masukkan tepung gandum, tepung ubi, dan sedikit garam. Gaul rata sehingga menjadi doh yang lembut.
3. Selepas itu ambil sedikit doh, bentukkan bulat dan buat lubang kecil di tengahnya seperti donut.
4. Ulangi langkah ini sehingga semua doh habis dan goreng di dalam minyak panas sehingga masak.

Penyediaan Sira Gula:
1. Masukkan air dan gula di dalam kuali dengan api yang sedikit kuat masak sehingga pekat tanpa perlu dikacau.
2. Setelah pekat, tutup api dan kacau selama 10 saat. Selepas itu masukkan kuih keria yang telah digoreng tadi sambil digaul sehingga gula menjadi keras dan rangup.
3. Kuih keria sedia dihidang. 

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Jeruk Epal Asam Boi