Menu di Hujung Minggu, Asam Pedas Tumis Sotong

Assalamualaikum dan Selamat Tengah Hari terutama sekali kepada ibu-ibu yang sedang memikirkan apakah menu yang ingin dimasak untuk keluarga di hujung minggu ini.



Seperti ibu-ibu yang lain pada setiap hujung minggu, Kak Noor mesti memikirkan apakah menu tengah hari yang hendak dipersembahkan untuk keluarga . Seperti biasa pada setiap hari Sabtu Encik Hasben akan ke pasar tani membeli lauk-pauk untuk bekalan seminggu. Ada sotong, ayam, dan udang. Ikan jarang sangat dibeli sebab anak-anak tak berapa gemar ikan. Ikan sekarang pun dah mahal, kalau masak tetapi tidak dimakan akan terbuang begitu sahaja. Dah kira membazir tu.





Kak Noor jarang ke pasar tani ini sebab kalau dah ikut Encik Hasben, round lama di pasar tani tu... Biasalah orang perempuan ini, nak tengok tu, nak tengok ni, nak belek dulu barang sebelum membeli, dan kadang-kadang membeli barang yang tiada dalam list pun. Bila balik rumah dah letih, tak larat ke dapur. Last sekali beli lauk di gerai aje. So better Encik Hasben aje pergi. Isteri pesan sahaja apa yang hendak dibeli. Encik Hasben ni kalau pergi membeli cepat balik. Beli ikut apa yang kita pesan saja. Kan senang gitu.


Teringin pula nak makan asam pedas. Agak lama menu ini tidak muncul di persada blog ini. Tapi kali ini Kak Noor nak cuba masak Asam Pedas Sotong. Mula-mula rasa musykil juga nak masa asam pedas sotong ini, mungkin tak pernah orang masak. Tetapi bila Kak Noor google, ternyata ada menu asam pedas ini.




Resepi Asam Pedas Tumis Sotong
Oleh: Kak Noor, Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
10 ekor sotong – saiz sederhana besar
2 senduk nasi cili kering yang telah dikisar lumat
Beberapa tangkai daun kesum
1 batang bunga kantan 
2 batang serai diketuk
2 biji tomato – dipotong wedges
½ sudu teh serbuk jintan manis
½ sudu teh serbuk jintan putih
½ sudu teh serbuk lada hitam
1 kiub ikan bilis
1 sudu besar pes asam jawa – (Kak Noor guna pes asam jawa Xtra Adabi)
Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan tumis:
1 biji bawang besar – dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris
½ sudu teh halba
1 tangkai daun kari

Bahan-bahan dikisar halus: (Saya menggunakan chopper blender)
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
½ inci belacan
½ inci halia
½ inci kunyit hidup

Cara-cara Memasak:
1. Panaskan minyak di dalam periuk. Tumis bahan-bahan tumis dan serai sehingga terbit aromanya. Masukkan bahan-bahan yang dikisar halus dan masak sekejap. Kemudian masukkan cili kering kisar. Masak menggunakan api sederhana dan biar cili mereneh sehingga terbit minyaknya (pecah minyak).
2. Bila telah terbit minyak, masukkan serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, serbuk lada hitam, kiub ikan bilis, dan pati asam jawa. Kacau rata sekejap dan kemudian tuang air secukupnya (tidak perlu air yang banyak sebab sotong akan mengeluarkan siar juga). Masak sehingga kuah mendidih.
3. Masukkan sotong diikuti dengan dengan daun kesum dan bunga kantan. Masak sehingga kuah mendidih.
4. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Biarkan kuah mereneh sekejap sehingga naik kemerah-merahan.
5. Akhir sekali masukkan tomato dan terus tutup api agar tomato tidak layu sangat. Hidangkan bersama nasi panas.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung