Sambal Manis, Kombinasi Tauhu & Sosej

Assalamualaikum dan terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi singgah di blog Sajian Dapur Bonda ini.

Malam ini Kak Noor luangkan masa di hadapan komputer. Nak update beberapa menu untuk dikongsi bersama. Menu ini Kak Noor masak tengah hari tadi. Sambal manis, kombinasi tauhu dan sosej boleh menghasilkan satu menu yang ringkas, tetapi tetap membuka selera anak-anak. Pada mulanya plan nak masak sambal manis tauhu sahaja, tetapi bila buka peti ais tengok tauhu yang dibeli semalam hanya tinggal empat keping sahaja. Tak payah siasat siapa yang ambil. Kalau dah terkurang tu, siang-siang dah tau kerja Encik Hasben la.. yang memang suka makan tauhu mentah ni!



Terpaksalah siibu fikir altenatif lain untuk memeriahkan lagi lauk ini. Nasib baik semalam beli empat paket sosej untuk dibuat roti sosej. Itulah jalan penyelesaiannya. Campur sosej aje dalam sambal manis ini. Memang faveret anak-anaklah sosej ni. Sosej ini digoreng sama seperti tauhu sebelum dimasukkan di dalam sambal. Menu ini rasanya pedas-pedas manis.

Kebiasaannya sosej akan clear dahulu tak sampai ke malam, projek meratah sosej oleh anak-anak. Tak makan nasi, tapi ratah sosej aja. Banyak mana letak sosej pun tak akan cukup. Tinggallah tauhu terkonteng-konteng, dimakan oleh siibu dan siayah. Baru sekejap tadi, sibongsu sound beritahu sosej dah habis. Nasib baik kuah masih banyak lagi. Bangunlah siibu ke dapur untuk menggoreng sosej lagi dan dimasukkan ke dalam kuah dan panaskan kembali.


Resepi Sambal Manis Tauhu & Sosej
Oleh: Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahannya:
4 keping tauhu - dipotong empat setiap keping
1 paket sosej Ayamas - 1 batang sosej dipotong 3
1/2 biji tomato - dipotong kiub
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula putih
1 sudu kecil perencah TUMIX kuah
Garam secukup rasa
1 cawan air
Minyak secukupnya

Bahan-bahan dikisar lumat:
3 senduk nasi cili kisar
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 cawan air

Cara-caranya:
1. Terlebih dahulu goreng tauhu dan sosej sehingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan minyak di dalam periuk. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan kacau rata. Guna api sederhana dan masak mereneh cili sehingga terbit minyak. Tutup periuk bagi mengelakkan cili terpercik keluar.
3. Selepas terbit minyak, masukkan 1 cawan air. Kacau rata.
4. Masukkan tomato, sos cili, sos tomato, sos tiram, kicap manis, gula perang, gula putih, perencah TUMIX dan garam secukup rasa. Gaul rata dan masak sehingga kuah mendidih sekali lagi.
5. Selepas kuah mendidih, bolehlah dimasukkan tauhu dan sosej yang digoreng tadi. Kacau rata dan biarkan beberapa minit di atas dapur, barulah ditutup api.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Jeruk Epal Asam Boi