Ayam Masak Hitam Madu (Ala Lauk Nasi Kandar), hanya menggunakan kaedah merebus sahaja..

Assalammualaikum Semua.

Malam ini Kak Noor nak kongsi menu special keluarga iaitu Ayam Masak Hitam Madu, ala-ala lauk nasi kandar gitu. Tetapi yang istimewanya menu ini ialah ia tidak mengguna kaedah menumis seperti kebiasaannya. 




Bila cakap sahaja lauk nasi kandar mesti kita telah sedia maklum lauknya berminyak.. Jika dipandang dari sudut kesihatan memang tidak elok untuk kesihatan. Tambah-tambah kepada orang yang mempunyai kolestrol tinggi. Tetapi bagi orang yang dah memang fanatik dengan lauk nasi kandar ini, itu semua tak berapa penting. Hari-hari tak pernah `mis' makan nasi kandar. Nafsu dan selera makan diutamakan, mesti nak pergi cari nasi kandar juga.  Tetapi tidak dinafikan lauk nasi kandar ini memang mengancam selera.  Kalau seorang staf sahaja yang beli bungkus nasi kandar dan bawa balik ke ofis untuk makan, merebak satu ofis dengan aromanya. 




Samalah juga macam Kak Noor, anak jati Pulau Pinang. Nasi dan lauk nasi kandar telah sinonim dengan diri Kak Noor sejak kecil lagi. Hari-hari dibawa oleh Datuk dan Nenek ke kedai mamak pekena nasi kandar. Gian makan nasi kandaq ni... baq hang. 



Tak kiralah berminyak ke... kolestrol tinggi ke... balun tetap balun kalau dah ada depan mata. Cuma bila tinggal lama di Kuala Lumpur ini, kuranglah sedikit fanatiknya kat nasi kandar ini sebab nasi kandar di Kuala Lumpur tidak sama rasanya macam nasi kandar di Pulau Pinang. Lidah orang Penang jangan dok tipu no... depa tau rasa nasi kandaq Penang yang original.  

So bagi sesiapa yang memang gemar lauk nasi kandar dan pada masa yang sama pentingkan kesihatan, bolehlah cuba menu ini ye. Selamat mencuba. 


Ayam Masak Hitam Madu (ala lauk nasi kandar)
Inspirasi Oleh: Kak Noor @ sajiandapurbonda

Bahan-bahannya:
1 ekor ayam organik – dipotong 12
1 sudu kecil serbuk jintan manis
1 sudu kecil serbuk jintan putih
1 batang serai - dititik
2 biji bawang besar saiz sederhana – sebiji dipotong 4 atau 6
3 sudu besar madu
1 helai daun pandan – disimpul
2 tangkai daun kari
5 sudu besar rempah masak hitam dibancuh dengan sedikit air – Saya guna keluaran Az-Zain
1 sudu besar perencah Cukup Rasa Maggi
Kicap lemak manis Enaq secukup rasa
Garam secukup rasa

Bahan-bahan dikisar:
2 biji bawang besar saiz sederhana
4 ulas bawang putih
2 inci halia
6 biji cili padi hijau
Air secukupnya

Cara-caranya:
1. Perap ayam dengan bahan-bahan kisar , serbuk jintan putih dan jintan manis, dan perencah Cukup Rasa Maggi selama 30 minit.
2. Panaskan kuali. Masukkan ayam yang diperap tadi bersama air secukupnya, daun kari dan serai. Tudung kuali dan masak sehingga ayam ¾ empuk.
3. Kemudian masukkan rempah masak hitam dan daun pandan. Gaul rata. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah ditambah sedikit air. Masak lagi sehingga ayam masak sepenuhnya.
4. Tuangkan kicap lemak manis ENAQ secukup rasa dan perasakan dengan garam secukup rasa. Gaul rata dan sebati. Biar ayam mereneh dengan api perlahan di atas dapur selama 5 minit.
5. Kemudian masukkan potongan bawang besar dan madu. Gaul sebati, kemudian bolehlah ditutup api.
6. Ayam Masak Hitam Madu sedia untuk dihidangkan.  Sedap dimakan bersama nasi panas. 

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung