Dessert @ Pencuci Mulut Puding Kacang Merah ABC

Assalammualaikum.




Selamat malam semua. Esok cuti, syukur Alhamdulillah. Malam ini dapatlah Kak Noor mencuri sedikit masa untuk memuatkan resepi pencuci mulut yang jarang sangat orang buat dibandingkan dengan puding laici, puding jagung, puding coklat, puding oreo dan puding-puding viral yang lain. Memang agak kurang resepi puding kacang merah atau agar-agar merah ini apabila kita google. Mungkin disebabkan ia tidak digemari oleh anak-anak, maka kaum ibu jarang membuatnya. 


Tetapi ia memang realiti kerana anak-anak Kak Noor pun kurang menggemarinya. Nasib baik separuh daripada loyang telah dibawa ke pejabat untuk dijamu kepada kawan-kawan. Dah tiga hari buat, masih berbaki 1/4 loyang di dalam peti sejuk. Bila ditanya kenapa tidak habiskan puding kacang merah yang ibu buat, kata mereka tak suka rasa kacang merah tu.


Kak Noor rasa puding ini rata-rata yang menggemarinya hanyalah kaum ibu. Sebab apabila Kak Noor muatkan gambar puding kacang merah ini di FB, ramai kaum ibu yang like dan meminta untuk dikongsi resepi. Mungkin lain kali kaum ibu boleh cuba alternatif lain dengan blend semua kacang merah itu sehingga lumat.


Penyediaan membuat puding kacang merah ini memang ringkas dan mudah. Jangan terkejut pula Kak Noor menggunakan agar-agar yang banyak untuk resepi ini. Penggunaan agar-agar yang banyak adalah supaya adunan tidak lembik dan berair disebabkan ada tambahan bahan-bahan C.


Ok dah nak tengah malam ini. Esok Kak Noor perlu bangun awal kerana ada urusan di waktu pagi sehinggalah ke petang. Sehari suntuk `merendek' di jalanan. Sambil menaip dan mengemaskinikan blog SDB dengan catatan baharu, sebenarnya Kak Noor tengah tunggu kek sejuk untuk dicurahkan ganache coklat ke atasnya. Ada kawan yang order untuk esok, COD di Rawang.  

Kak Noor kongsi resepinya di sini ye.

Puding Kacang Merah ABC
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda

Bahan-bahan A:
37gram agar-agar tali
1.8 liter air
2 ½ cawan gula pasir
2 helai daun pandan - disimpul

Bahan B:
1 tin kacang merah
– dibuang sirapnya, dibasuh dan ditoskan

Bahan-bahan C (diblend bersama):
1 tin kacang merah dalam sirap (tak perlu buang sirapnya)
1 tin susu cair
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar susu tepung penuh krim
1 sudu kecil pewarna merah jambu

Cara-caranya:
1. Basuh agar-agar terlebih dahulu. Kemudian masukkan ke dalam periuk bersama bersama air, daun pandan, dan masak sehingga agar-agar hancur.
2. Setelah agar-agar hancur, masukkan gula. Masak sehingga gula larut dan sebati dengan agar-agar. Perlahankan api.
3. Sementara itu, ratakan bahan B - 1 tin kacang merah ke dalam loyang rendah empat segi 9 x 9 inci. Sendukkan sedikit agar-agar kosong yang telah masak tadi ke atas kacang merah di dalam loyang sehingga paras kacang merah sedikit tenggelam. Masukkan ke dalam peti ais sehingga lapisan kacang merah mengeras sedikit.
4. Blend bahan-bahan C sehingga lumat dan sebati.
5. Masukkan bahan-bahan C yang diblend tadi ke dalam baki agar-agar kosong di dalam periuk tadi dan masak sehingga mendidih. Gunakan api perlahan dan kacau selalu supaya tidak berkerak di dasar periuk. 
6. Keluarkan loyang lapisan kacang merah daripada peti sejuk. Tuangkan campuran kacang merah tadi. 
7. Biarkan agar-agar sejuk di suhu bilik sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
8. Sedap dimakan sejurus dikeluarkan daripada peti sejuk

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Jeruk Epal Asam Boi