Ayam Goreng Kunyit Kari Madu

Assalammualaikum.

Menu tengah hari tadi, menu yang simple, cepat dimasak sedap dimakan. Walaupun simple tetapi amat menyelerakan. Ada pula sambal belacan dan tuang sedikit kicap lemak manis Enaq di atas nasi panas.



Dah jemu makan lauk berkuah, sesekali makan lauk sebegini adalah satu kepuasan. Laju aje tangan ini menyuap ke mulut dan kalau diikutkan selera memang boleh bertambah nasi.


Sedap dimakan bersama Kicap Lemak Manis ENAQ
Memang banyak resepi ayam goreng kunyit yang Kak Noor sempat google. Majoriti resepi yang dikongsikan ayam tidak digoreng terlebih dahulu; terus ditumis bawang dan kemudian dimasukkan ayam. Untuk resepi ini isi ayam digoreng terlebih dahulu dan diketepikan. Semasa menumis dimasukkan sedikit daun kari bagi membangkitkan aroma nasi kandar. Nama pun orang Penang, aroma nasi kandar dalam masakan telah menjadi satu kemestian. Sebelum diangkat, masukkan pula sedikit madu.


Pasti menyelerakan.
Bagi yang gemar sayur-sayuran, boleh tambah karot dan kacang panjang. Kak Noor lebih suka ditambah sayur, menjadikan menu ini dua dalam satu. Tak perlu lagi fikir dan tercari-cari nak masak menu sayur yang lain. Tetapi dalam keadaan `emergency' (perut dah berbunyi) masak apa aje yang terada di dalam peti sejuk. 

Ayam Goreng Kunyit Kari Madu
Inspirasi oleh: Kak Noor @ Sajian Dapur Bonda


Bahan-bahan A (Perap):
4 ketul isi ayam bahagian keel - dipotong kecil
Kunyit secukupnya
Garam secukupnya
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk Maggi cukup rasa

Bahan-bahan B (Tumis):
1 helai daun kari
3 ulas bawang putih - diketuk sahaja
2 sudu besar minyak gorengan ayam
2 bij bawang besar - dihiris memanjang

Bahan-bahan C:
1 biji cili merah - dipotong serong
1 biji cili hijau - dipotong serong
3 - 4 biji cili padi - dihiris serong
Sedikit gula
2 sudu besar madu

Cara-caranya:
1. Bahan-bahan A disatukan, digaul, dan diperap selama 10 - 15 minit sehingga meresap.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam menggunakan api yang besar. Kacau kerap supaya tidak mudah keras dan hangus. Angkat dan ketepikan.
3. Gunakan minyak gorengan ayam untuk menumis. Tumis daun kari diikuti dengan bawang putih dan bawang merah. Apabila bawang telah layu masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan kacau rata.
4. Masukkan cili merah, cili hijau, dan cili padi. Sekiranya ada kacang panjang, boleh dimasukkan kacang panjang. Kacau sehingga ayam bergaul rata dengan kacang panjang.
5. Sebelum diangkat, masukkan madu dan sedikit gula, dan kacau sekata selama 1 minit. Angkat dan hidangkan.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Kuih Lopes

Bubur Kacang Hijau Bersagu Lemak Berkrim - Versi Periuk Noxxa Sajian Dapur Bonda

Sotong Kangkung